Susunan NURBALQIS HAYATI AHMAD NAJIH
 
 Cinta. Apa itu cinta? Jika kita berbicara tentang cinta, pasti kita  tidak terlepas daripada memperkatakan tentang cinta monyet yang menjadi  nadi kepada kehidupan muda-mudi masa kini. Malahan kebanyakan cinta  seperti ini menjurus kepada pelakunya untuk membuat perkara maksiat  tanpa menilai dan memahami erti cinta yang sebenar-benarnya. Cinta bukan  sekotor itu.
 
 Apakah maksud atau makna cinta? Cinta sebenarnya merupakan satu fitrah  yang ada di dalam hati setiap manusia. Cinta wujud hasil daripada satu  perasaan yang halus. Cinta mewujudkan perasaan kasih sayang dan belas  kasihan sesama manusia dan makhluk di dunia ini. Tanpa perasaan cinta,  seseorang itu akan merasai kekosongan di dalam jiwa mereka.
 
 Cinta yang hanya berpaksikan runtutan fitrah tanpa dicemari oleh hawa syahwat melambangkan kedamaian, keamanan dan ketenangan. 
 
 Bagaimanapun, cinta seringkali diperalatkan untuk melepaskan keghairahan  nafsu. Maka akan terjadi bermacam perkara yang merosakkan manusia dan  membawa kepada kemaksiatan dan kehancuran umat terutama bagi golongan  remaja yang terlalu taksub dan asyik dengan cinta tanpa ada penilaian  dan pertimbangan akal fikiran yang waras.
 
 Cinta yang hanya berlogikkan nafsu dan syahwat semata-mata hanyalah  cinta palsu yang penuh jijik dan hina. Oleh hal yang demikian itu,  sebagai remaja, terutamanya remaja mukmin, kita sewajarnya peka terhadap  kehadiran cinta di dalam jiwa dengan lebih memahami makna dan erti  serta cara yang sesuai untuk menerima dan memberi cinta kepada  seseorang. Jangan hanya membuta tuli dan mengikut tuntutan nafsu semata.
 
 Cinta dan permasalahannya telah menjadi perkara serius yang dihadapi  oleh umat Islam hari ini. Pertembungan antara cinta hakiki dengan cinta  palsu menyebabkan umat Islam menghadapi dilema perasaan yang kronik.  Krisis cinta palsu telah menyebabkan umat Islam memusnahkan etika  spritual - membunuh solidariti dan menodai sosial sehingga ada yang  sanggup membunuh dan membunuh diri akibat daripada tekanan perasaan yang  sukar untuk dikawal.
 
 Islam tidak memusuhi cinta. Ini sesuai dengan ciri-ciri Islam sebagai  agama yang menepati fitrah manusia. Malah, Islam memandang tinggi  persoalan cinta yang tentunya merupakan perasaan dan fitrah yang  menjiwai naluri setiap manusia. 
 
 Bagaimanapun, cinta di dalam Islam perlulah melalui pelbagai peringkat keutamaannya yang tersendiri seperti:
 
 1. Cinta kepada Allah
 
 Islam meletakkan cinta yang tertinggi dalam kehidupan manusia, iaitu  cinta kepada Allah. Tanpa cinta kepada Allah, perlakuan hamba tidak  memberi pulangan yang bererti, sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada  Islam ialah mengenali dan dan mencintai Allah. Dengan cinta akan  mendorong manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah serta menerbitkan  iman yang mantap. 
 
 Firman Allah s.w.t:
 “... (Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil  selain daripada Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka  mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai  Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada  Allah...”  (Surah Al-Baqarah : 165)
 
 2. Cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan Para Anbia´
 
 Ketika manusia berada di dalam kegelapan, maka diutuskan pembawa obor  yang begitu terang untuk disuluhkan kepada manusia ke arah jalan  kebenaran. Pembawa obor tersebut ialah Rasulullah s.a.w. 
 
 Maka, menjadi satu kewajipan kepada setiap yang mengaku dirinya sebagai  muslim memberikan cintanya kepada Rasulullah dan para anbia´ dengan  mengikut segala sifat yang terpuji. 
 
 Kerana perasaan kecintaan inilah, para sahabat sanggup bergadai nyawa  dan menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai demi mempertahankan  Rasulullah s.a.w dalam usaha Baginda untuk menyebarkan agama Islam.  
 
 Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, ada disebut:
 
 “Diriwayatkan daripada Anas r.a, katanya: Nabi s.a.w bersabda: Tiga  perkara, jika terdapat di dalam diri seseorang maka dengan perkara  itulah dia akan memperoleh kemanisan iman: Seseorang yang mencintai  Allah dan Rasul-Nya lebih daripada selain kedua-duanya, mencintai  seorang hanya kerana Allah, tidak suka kembali kepada kekafiran setelah  Allah menyelamatkannya daripada kekafiran itu, sebagaimana dia juga  tidak suka dicampakkan ke dalam neraka.” (Bukhari: no. 15, Muslim  no.  60, Tirmizi: no. 2548, Nasaie: no. 4901)
 
 3. Cinta Sesama Mukmin
 
 Perasaan kasih sayang sesama manusia merupakan tunggak utama untuk  menyalurkan konsep persaudaraan. Cinta inilah yang mengajar kita supaya  mencintai ibu bapa dan keluarga. Selain daripada cinta kepada kedua-dua  ibu bapa, Islam juga meletakkan cinta sesama mukmin sebagai syarat  kepada sebuah perkumpulan atau jemaah yang layak bersama Rasulullah  s.a.w. 
 
 Maksud firman Allah s.w.t:
 “... Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang  bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir  yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas  kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)...” (Surah Al-Fath: 29)
 
 Inilah yang telah diajar oleh Islam. Maka masyarakat sejagat, malah umat  Islam sendiri dapat melihat bahawa betapa agungnya unsur kasih sayang  dan cinta yang terdapat di dalam Islam  dan begitu jualah agungnya  penjagaan Islam sendiri terhadap umatnya supaya tidak mencemarkan  kesucian cinta dengan kekotoran nafsu.
 
 Itulah cinta di dalam Islam. Ia haruslah diasaskan di atas dasar  keimanan kepada Allah. Alangkah ruginya cinta yang lari dari landasan  iman. Lalu akan hanyutlah jiwa-jiwa yang menyedekahkan dirinya untuk  diperlakukan oleh ´syaitan cinta´ sewenangnya-wenangnya.
 
 Sesungguhnya cinta sebelum perkahwinan merupakan cinta palsu walaupun  dihiasi dengan rayuan manja kerana itu hanya panggilan ke lembah  kebinasaan. Masa muda yang dianugerahkan oleh Allah hanyalah sekali  berlaku dalam hidup dan tidak berulang lagi untuk kali kedua atau  seterusnya. 
 
 Maka dalam meniti usia, remaja perlu berhati-hati dengan mainan perasaan  walaupun merupakan perkara yang amat sukar dilakukan, apatah lagi  semakin dihambat usikan perasaan, semakin ia datang mencengkam. Itulah  azam kita untuk melawan nafsu dan alangkah malunya untuk kita tewas dan  kita sendiri merelakan diri dibawa oleh arus yang menghancurkan.
 
 Jangan jadikan diri kita sebagai hamba cinta yang hanya berlandaskan  nafsu tanpa pertimbangan akal yang waras. Kita seharusnya mengawal  perasaan cinta kerana jika terlalu obses terhadap seseorang, manusia  biasanya akan hilang kawalan dan tidak dapat menerima hakikat  kehilangan, lantas sanggup melakukan sesuatu yang buruk untuk melepaskan  perasaan kecewa seperti pembunuhan kejam terhadap Allahyarham Norzi Ayu   Md Nor baru-baru ini serta beberapa contoh yang lain.